Tuesday, October 21, 2008

Umno dan Menteri Zina

Adakah Umno/BN bersedia menerima seorang yang telah melakukan zina untuk dilantik sebagai menteri kabinet?



Ini mungkin menjadikan Perdana Menteri, sama ada yang sekarang ataupun yang akan datang amat serba salah. Walaupun parti etnik berkenaan yang akan mencalonkan politikus tersebut mengikut senioriti dalam parti, ia mungkin membawa padah kepada BN sekiranya pihak lawan terutamanya PAS menjadikan ia sebagai bahan politik mencabar kewibawaan Islam Hadhari yang diuar-uarkan oleh pihak kerajaan persekutuan BN.



Persoalannya ialah bukankah Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri sepuluh tahun lepas atas dasar ia tidak sesuai menjadi pemimpin negara kerana melakukan perbuatan sumbang meliwat? Mampukah pihak BN dijadikan bahan jenaka seluruh negara jika melantik seseorang yang telah mengaku berzina dengan wanita yang bukan isteri sahnya. Lebih-lebih lagi perlakuan intim tersebut telah dirakam dan diedarkan dalam bentuk DVD untuk tatapan orang ramai.



Sememangnya mungkin bukan dia seorang sahaja pemimpin politik yang mempunyai kebiasaan berzina dengan wanita bukan isterinya tetapi masalahnya ialah dia telah mengaku melakukannya. Yalah, yang lain mungkin juga melakukannya tetapi mereka tidak ditangkap ataupun dirakam semasa melakukannya. Dia bolehlah dikira sebagai seorang yang "gentleman" kerana berani mengaku di depan kaca kamera dan pihak akhbar.



Yang menarik ialah terdapat golongan tertentu (seperti perwakilan yang mengundi beliau dalam pemilihan parti) menyokong beliau atas dasar kemampuan politik dan kepemimpinan beliau, perlakuan peribadi kekal sebagai urusan peribadinya. Tetapi untuk mereka yang tidak mengenali politik kepartian ataupun mengikuti perkembangan politik negara, kemungkinan akan timbul fahaman bahawa parti itu sebenarnya memperakui perbuatan zina ataupun pada hakikatnya perwakilan-perwakilan yang mengundi beliau juga melakukan perkara yang sama! Maka itu ia dibolehkan kerana pemimpin besar telah melakukannya dan akan memimpin kita ke arah itu!



Kesian mereka yang tidak mengundi beliau kerana walaupun tidak menyokong ahli politik itu, mereka juga akan menghadapi cemuhan yang sama dari orang ramai. Lembu-lembu sekandang juga terpalit dengan lumpur dan najis kerana semua dalam kandang yang sama.

No comments: