Sunday, February 28, 2010

Saifuddin - pejuang belia dulu,kini dan selamanya....

Selepas lebih dari 10 tahun seruan agar ditubuhkan sebuah jawatankuasa Kabinet mengenai belia, akhirnya pihak kerajaan akur dengan kepincangan halatuju pembangunan belia yang ada sekarang dan bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia. Jawatankuasa ini dijangka akan dianggotai oleh wakil 12 buah Kementerian yang ada kaitan dengan belia.

Semasa Saifuddin Abdullah menerajui Majlis Belia Malaysia(MBM) sebagai presiden dan setiausaha agung dari 1990 hingga 2002, beliau telah memperjuangkan kewujudan sebuah jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri untuk menjana pembangunan belia negara ini. Bukan itu sahaja, Saifuddin telah mencadangkan agar belia harus diberi peranan sebagai ahli Dewan Negara dan juga sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) selaku wakil belia di seluruh negara. Saifuddin telah berhujah bahawa walaupun terdapat Senator dan Ahli Majlis PBT yang dalam lingkungan umur belia, mereka ini bukanlah dilantik atas nama wakil pertubuhan belia tetapi berasaskan latarbelakang politik penama berkenaan.
Saifuddin Abdullah semasa pelancaran bukunya "Politik Baru"

Sekarang Saifuddin telah diangkat menjadi Timbalan Menteri di dalam kerajaan selepas memenangi kerusi Parlimen Temerloh pada pilihanraya umum yang lepas. Nampaknya idealisme dan perjuangan beliau untuk mengangkat martabat perjuangan belia masih lagi segar dan kuat di sanubari beliau walupun tidak lagi memegang jawatan penting dalam pertubuhan belia kebangsaan seperti MBM. Kegigihannya demi perjuangan belia dapat dilihat dari keperibadian beliau yang selesa bergaul dengan belia serta wawasan dan  usaha yang diambil untuk mendekati belia. Maka ia tidak menghairankan apabila Saifuddin merupakan ahli politik Umno berjawatan dalam kabinet yang pertama membuka akaun dalam laman "Facebook" sebagai langkah membuka jalan kepada pengguna Facebook untuk "mendampingi" dan berkenalan dengan beliau. Misi 3M "Menyelami Minda Muda" yang diilhamkan beliau telah membolehkannya mendengar pandangan dan rintihan ribuan orang muda secara terus dan telus.

Persoalannya ialah sama ada Jawatankuasa ini berkemampuan menjalankan peranan secara betul dan berkesan seperti yang diuar-uarkan oleh PM Najib semasa mengumumkan penubuhan jawatankuasa tersebut? Adalah diharapkan usaha ini bukanlah setakat melepas batuk ditangga dan hanya merupakan pendekatan untuk mendekati pengundi-pengundi muda dalam perancangan strategi pilihanraya umum ke 13 yang akan datang.

Tiga orang besar dalam Umno sekarang iaitu Najib, Muhyiddin Yassin (yang akan mempengerusikan jawatankuasa tersebut) dan Hishammudin Hussein pernah menjadi menteri dalam Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini dan mereka sepatutnya faham dengan peri pentingnya jawatankuasa ini dan diharapkan jangan sekali-kali menjadikan gagasan ini sebagai matlamat politik kepartian.

Penggiat dan pemimpin belia sama ada di dalam mahupun di luar Kementerian Belia memang tahu dari segi hiraki dan protokol, status Kementerian Belia adalah di tahap paling rendah di bandingkan dengan kementerian lain. Ia bukanlah perkara luarbiasa apabila kementerian-kementerian lain hanya menghantar pegawai pangkat jauh lebih rendah untuk menghadiri mesyuarat yang di panggil dan dipengerusikan oleh pegawai tinggi Kementerian Belia.

Disebabkan status Kementerian Belia yang rendah, Muhyiddin Yassin yang suatu ketika dulu amat berpengaruh dan berkuasa besar sebagai Menteri Besar Johor selama 10 tahun (1986 - 1995) telah merajuk apabila ditukar menerajui Kementerian Belia selepas pilihanraya tahun 1995. Kerusi Menteri Besar Johor pula diberikan kepada Menteri Belia sebelumnya iaitu Abdul Ghani Othman yang masih memegang jawatan tersebut sehingga sekarang.

Diharapkan Jawatankuasa ini mampu memberikan suntikan mujarab ke arah memartabatkan perjuangan dan kepentingan belia. Walau bagaimanapun, sekiranya ketiga-tiga mereka iaitu Najib, Muhyiddin dan Hishamuddin serta  Menteri belia sekarang Shabery Chik menghadapi jalan buntu dan memerlukan wawasan baru untuk Jawatankuasa ini, ikutlah resam padi dan rujuklah dengan  mereka yang pakar mengenai belia. Ini tidaklah susah kerana telah ada orang di sisi di kalangan mereka iaitu Saifuddin Abdullah - pejuang belia, dulu, kini dan selamanya....- Loka