Sunday, May 2, 2010

Orang Cina sudah cerdik, yang lain kurang pandai?

Nampaknya sebilangan besar pengundi Cina di Hulu Selangor telah mengikut nasihat Tok Guru Nik Aziz dengan mengambil segala hadiah yang diberi oleh Barisan Nasional tetapi apabila masa membuang undi, mereka mengundi Pakatan Rakyat. Kalau begitulah ceritanya maka pengundi-pengundi Cina ini bolehlah dikatakan lebih cerdik dan berwawasan. Bukannya bersikap ekstrem mahupun tidak berterima kasih kepada BN seperti yang dicanangkan oleh sesetengah pihak.

Kalau mengikut fahaman sesetengah pihak bahawa sesebuah kaum tertentu dikira tidak bersyukur kepada BN kalau tidak mengundi BN, maka apa pula ceritanya pada tahun 1999 apabila sejumlah besar  masyarakat Melayu telah memihak kepada pembangkang. Sebaliknya pengundi-pengundi Cina yang telah mempertahankan kemenangan BN pada masa itu. Berpandukan proses pemikiran sempit ini seperti yang ada pada Ibrahim Ali dan mereka yang sebulu dengannya, adakah ini bermakna mereka juga setuju orang-orang Melayu pada tahun 1999 juga tidak bersyukur pada kerajaan BN dan ekstrem kerana berpihak kepada PAS dan Parti KeAdilan Nasional pada masa itu ?

Dibandingkan dengan pengundi-pengundi lain, rata-rata pengundi-pengundi Cina  tidak lagi begitu senang termakan janji mahupun membuang prinsip-prinsip sendiri akibat sogokan yang diberikan semasa pilihanraya. Orang Cina kini lebih menitik-beratkan hala tuju dan masa depan negara yang diurus-tadbir dengan baik dan dengan bertanggungjawab. Janji-janji dan hadiah-hadiah yang ditaburkan semasa musim pilihanraya tidak boleh lagi dijadikan kayu ukur keprihatinan sesuatu pihak terhadap kebajikan masyarakat dan pembangunan negara. Orang-orang Cina mahu dasar-dasar jangka panjang yang benar-benar menguntungkan rakyat secara menyeluruhnya bukannya hanya untuk segelintir golongan pilihan sahaja. Tak akan pihak-pihak yang berkuasa tidak memahami perkara ini? Ataupun hakikatnya pihak-pihak tertentu walaupun tahu tetapi sememangnya tidak berhasrat untuk melakukannya atas sebab-sebab yang mereka sahaja yang tahu.

Kalau orang Cina sekarang sudah lebih cerdik memilih pemimpin dan kerajaan, mengapa pula yang lain-lain masih kurang pandai. Masih lagi menyokong pihak yang rasuah, rasis, menyalahgunakan kuasa dan memperkayakan kroni-kroni mereka sahaja. Apakah pengundi-pengundi lain ini begitu kurang cerdik sehingga begitu senang dipermain-mainkan oleh pihak-pihak tertentu yang hanya pandai taburkan janji dan berikan hadiah semasa pilihanraya tetapi pada masa yang lain hanya memperkayakan diri mereka sahaja.

Hai. Saya amat bersimpati dan sedih memikirkan pengundi-pengundi lain ini. Bila nak sedar agaknya? - Loka

No comments: