Tuesday, March 9, 2010

Rakyat tidak boleh fikir?

Apa perlu adanya pilihanraya kerajaan tempatan? Ia tidak semestinya akan membawa apa-apa perubahan dan kemajuan dalam pentadbiran. Betulkah? Biarlah hanya golongan tertentu sahaja yang melantik diri mereka sendiri sebagai pemimpin dan menguruskan hal ehwal masyarakat selama-lamanya. Bukankah begitu bagus, rakyat tak perlulah berkobar-kobar mendaftar sebagai pengundi, menyemak senarai pengundi untuk pastikan nama ada, berbaris dari awal pagi untuk ambil kertas undi dan memerah otak mereka untuk fikirkan siapa yang harus mereka pilih. Menyusahkan saja kan? Lagipun tak perlulah rakyat menanggung beban menjaga mata pencarian segelintir orang yang menguruskan pilihanraya.

Biarkanlah saja mereka yang taksub kuasa politik terus pegang tampuk kekuasaan. Kita orang biasa yang daif ini manalah tahu untuk bezakan siapa yang layak ataupun sesuai untuk jadi wakil kami. Kita ni kan senang dilayan macam kanak-kanak. Kanak-kanak tidak tahu membuat keputusan yang secara bernas dan berhemah. Itukan telah dikatakan apabila sebuah sekolah di Pulau Mutiara mengadakan pemilihan "ala" pilihanraya umum baru-baru ini. Kalau merajuk disumbatlah dengan lolipop agar kita didiamkan supaya mereka boleh hidup senang dalam mahligai hasil keringat rakyat biasa. Mungkin hanya mereka yang takutkan bayang-bayang sendiri saja yang tahu segalanya?

Tambah lagi mereka yang takutkan bayang-bayang, "pilihanraya akan makan belanja yang besar". Baik wang yang akan diguna itu disalurkan kepada mereka yang memerlukannya (mengikut penilaian mereka yang berkepentingan sajalah!, kroni namanya). Kalau gini logiknya, mengapa pula ada pemilihan di peringkat parti mahupun pilihanraya umum kebangsaan dan negeri. Itu kan juga menggunakan duit. Itu tak membazir ke kalau ikut logik mereka? Tambah lagi, kalau tak mahu terus  berpolitik, undur sajalah dari dunia politik.

Amatilah negara-negara yang telah sekian lama mengadakan pilihanraya pelbagai peringkat. Rakyat mereka diberi peluang menyuarakan isi hati mereka dan memberi kepercayaan kepada orang yang difikirkan paling sesuai untuk mentadbir melalui peti undi. Rakyat biasa dihormati dan di beri hak untuk membuat keputusan menetapkan hala tuju pembangunan tempat mereka bermastautin dan di beri peluang mengorak masa depan mereka sendiri. Rakyat dilayan secara bermaruah dan dihormati. Bukannya dilayan seperti anak-anak kecil ataupun beruk di dalam sangkar yang terpaksa menerima apa sahaja yang dilemparkan oleh tuannya.- Loka

No comments: