Saturday, June 11, 2011

Selangor Menteri Besar during Selangor State Level Wesak Celebration

Ucapan

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Pada

MAJLIS SAMBUTAN HARI WESAK NEGERI SELANGOR

Tarikh  5 JUN 2011 (AHAD)  3 REJAB 1432
Tempat AUDITORIUM DEWAN JUBLI PERAK, BANGUNAN SSAAS, SHAH ALAM

Masa 8.15 MALAM



Selamat Sejahtera dan Selamat Menyambut Hari Wesak kepada semua Penganut Agama Buddha.
Yang Berhormat Dato’ Teng Chang Khim,
Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor;
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor;
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli-Ahli Parlimen;
Yang Berbahagia Ketua-Ketua Jabatan dan Warga Kerja Awam dan Swasta;
Yang Berusaha Encik Loka Ng Sai Kai,
Pengerusi Selangor Buddhist Development Committee;
Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Datin-Datin, Ahli-Ahli Majlis, Para Pemimpin Pertubuhan Agama dan Para Pemimpin Masyarakat;
serta Wakil-Wakil Media Massa, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Budiman.

(1) Saya bersyukur kerana dapat hadir bersama tuan-tuan dan puan-puan pada malam ini khususnya kepada para penganut agama Buddha yang menyambut hari Wesak pada tahun ini. Saya berbangga kerana pihak Kerajaan Negeri yang mengusahakan sambutan hari Wesak peringkat negeri pada kali ini, sementelahan pula penduduk Selangor yang beragama Buddha merupakan golongan beragama kedua besar di negeri ini selepas golongan penduduk beragama Islam.

Para Hadirin yang Dihormati;

(2) Kita maklum, Hari Wesak dirayakan oleh semua penganut agama Buddha di seluruh dunia. Ia dirayakan pada Mei setiap tahun, pada waktu bulan purnama, untuk memperingati tiga peristiwa penting, iaitu saat kelahiran Siddharta Buddha, saat beliau menjadi Buddha dan saat kemangkatannya. Perayaan bermula pada waktu pagi dengan penganut ajaran Buddha mengunjungi kuil Buddha untuk memberikan penghormatan kepada Buddha, yang dilambangkan oleh simbol-simbol Buddha seperti pagoda, patung Buddha dan pokok bodhi.

(3) Saya difahamkan Sambutan hari Wesak tahun ini lebih signifikan kerana ia merupakan ulang tahun ke- 2,600 para penganut agama Buddha menyambut saat pencerahan (enlightenment) penuh Buddha. Perkara yang boleh dijadikan iktibar adalah ciri-ciri kesederhanaan dan keharmonian dalam kehidupan manusia yang diberi penekanan oleh ajaran agama Buddha. Saya berpendapat ciri-ciri kesederhanaan dan keharmonian, yang juga wujud dalam ajaran agama-agama utama lain di dunia, wajar didekati dan diamalkan demi kesejahteraan semua.

(4) Saya menyarankan agar kita menjauhi dan menyingkir amalan ekstremis yang dipelopori oleh golongan tertentu yang tidak bertanggungjawab. Perbuatan mereka ini boleh menimbulkan suasana hasad dengki dalam kalangan masyarakat kita yang ingin hidup berbudaya tinggi dan beradab serta saling menyayangi antara satu sama lain; tidak kira kaum, bahasa mahupun agama.

(5) Sesungguhnya, budaya memupuk perasaan kasih-sayang dan hormat-menghormati antara satu sama lain harus dipertingkatkan dalam kehidupan harian agar masyarakat kita boleh bersama-sama bergerak menuju pembangunan negeri Selangor yang lebih mampan dan bestari.

Para Hadirin yang Berbahagia;

(6) Kerajaan Negeri Selangor memang sedar dan prihatin akan keperluan masyarakat beragama Buddha dan cabaran yang mereka hadapi. Saya difahamkan keperluan masyarakat beragama Buddha terutamanya terhadap tanah dan prasarana rumah ibadat meningkat secara mendadak sejak 30 tahun ini disebabkan peningkatan penganut dan anak-anak muda yang menyertai program keagamaan, pendidikan dan kebajikan.

(7) Baru-baru ini sempena perayaan hari Wesak saya sempat berkunjung ke rumah ibadat agama Buddha di Subang Jaya dan Shah Alam. Semasa di sana saya disambut mesra dan saya dapati dua-dua tempat tersebut penuh sesak dengan para penganut agama Buddha. Saya difahamkan keadaan yang sama juga wujud di tempat-tempat lain terutamanya di kawasan bandar yang mempunyai ramai penduduk beragama Buddha.

(8) Untuk pengetahuan umum, sejak Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di negeri Selangor pada Mac 2008, kita lantas menubuhkan Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam yang turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada pertubuhan agama selain Islam termasuk tiga daripada agama Buddha. Jawatankuasa ini bermesyuarat enam kali setahun untuk mencuba menyelesaikan pelbagai isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara seperti permohonan tanah dan pembinaan rumah ibadat selain Islam serta membincangkan isu kefahaman antara agama.

(9) Saya berharap, melalui penelitian Jawatankuasa ini, isu pemberian kelulusan lambat untuk pembinaan rumah ibadat agama Buddha yang memakan masa hampir 20 tahun sebagaimana yang pernah berlaku di Shah Alam semasa pentadbiran kerajaan terdahulu tidak berulang lagi.

(10) Kerajaan Negeri juga memberi bantuan kepada pelbagai pertubuhan agama untuk membaik pulih rumah-rumah ibadat dan menjalankan urusan keagamaan masyarakat selain Islam. Misalnya, pada tahun 2010, pihak Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk tujuan ini.

Para Hadirin yang Budiman;

(11) Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan syabas kepada semua pemimpin dan penganut agama Buddha kerana segala peranan dan program yang dijayakan di negeri Selangor. Antara program kemasyarakatan yang dikendalikan termasuklah pembinaan insan dan pembangunan masyarakat, kebudayaan, program kitar semula dan bantuan bencana alam.

(12) Dalam hal ini, sangat wajar kiranya dapat pihak pertubuhan agama Buddha menjalin kerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dalam hal penyertaan sukarelawan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa malapetaka apabila diperlukan kelak.
(13) Di samping itu, rumah ibadat juga boleh dijadikan destinasi tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri. Misalnya, pihak Kerajaan Negeri amat bangga terhadap usaha oleh rumah ibadat Fo Guang Shan Dongzen di Jenjarom yang berjaya menarik jutaan pelawat setiap tahun. Supaya lebih berkesan, saya cadangkan agar program perarakan kereta berhias hari Wesak sebagaimana yang diadakan di Petaling Jaya dan Seri Kembangan dimasukkan dalam takwim tahunan Tourism Selangor untuk menarik lebih ramai pelancong ke Selangor.

(14) Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua terutamanya para pegawai kerajaan Negeri dan pihak pertubuhan agama Buddha yang berganding bahu menjayakan program malam ini. Sekali lagi diucapkan, “Selamat Menyambut Hari Wesak”.

Terima kasih. Selamat sejahtera an Selamat malam.

No comments: