Wednesday, March 26, 2008

Impak PRU 12 kepada masyarakat

Saya telah dijemput sebagai tetamu dalam rancangan Isu Semasa Khas di RTM 1 pada 12 Mac 2008 (Rabu). Walaupun ini bukan kali pertama saya menjadi tetamu dalam program TV yang disiarkan secara langsung tetapi kali ini adalah berbeza kerana topik yang dibincangkan masih lagi sangat panas.

“Pilihanraya Umum ke 12: Kesan kepada Masyarakat”. Itulah bunyi isu yang dibincangkan kali ini. Tetamu lain termasuklah Timbalan Dekan dari Universiti Putra Malaysia, Professor Dr. Raduan Che Ros dan Encik Balakrishnan pensyarah kanan dari Uiversity Malaya. Saya telah diperkenalkan sebagai penasihat Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM), sebuah pertubuhan belia peringkat kebangsaan.

Agak janggal juga bila difikirkan semula hal ini kerana saya bukannya dari kalangan ahli akademik dan pastinya saya tidak akan memberikan pendapat saya dari perspektif akademik. Walaupun saya mempunyai pandangan sendiri mengenai topik ini, saya merasakan ia lebih baik jikalau saya mendapatkan pendapat dari kalangan kawan-kawan dengan latarbelakang yang berbeza untuk mendalami kesan PRU12 kepada masyarakat.

Antara perkara-perkara yang dilontarkan oleh hos program, Sayed Munawar Sayed Mustar ialah berkaitan impak PRU 12 terhadap hubungan etnik, sistem dwi-parti, peranan belia, kerajaan tempatan dan sebagainya.

Antara respon saya ialah mengenai pengaruh pengundi muda dalam PRU 12 yang telah memilih untuk membuat perubahan. Golongan muda yang pertama kali mengundi dan mereka yang mengundi kali kedua sejak 2004 telah membuang undi perubahan. Bagi mereka yang berasa tidak puashati dengan pelbagai isu kebelakangan ini, tiada ruginya untuk mereka membuang undi protes kerana bagi mereka tidak akan berlaku perkara yang lebih teruk dari yang sedia ada. Jika mereka tidak pilih untuk protes, keadaan mungkin lebih teruk lagi.

Mengenai sistem dua parti yang mungkin berlaku hari akan datang, saya telah menekankan beberapa perkara demi kepentingan rakyat, iaitu betapa perlunya setiap wakil rakyat mengundi berdasarkan pegangan dan prinsip mereka dan bukannya untuk kepentingan parti sahaja. Wakil rakyat harus sedar bahawa mereka dipilih untuk berkhidmat untuk rakyat dan bukannya untuk parti mereka semata-mata. Mungkin singkatan YB seharusnya bermakna Yang Berkhidmat bukannya Yang Berhormat!

Satu perkara utama diperbincangkan ialah sebab musabab berlakunya angin perubahan di PRU 12 hinggakan pakatan pembangkang tawan 4 buah negeri dan BN hilang majoriti 2/3 keanggotaan Dewan Rakyat.

Beberapa alasan telah diberikan oleh ahli panel termasuk isu kenaikan harga minyak dan barangan lain; isu berkaitan kepentingan golongan minoriti; parti kerajaan yang leka dan “over confident”, peranan media perdana dan alternatif seperti laman web dan blog, serangan bertubi-tubi pimpinan kanan BN terhadap Anwar Ibrahim yang membawakan rasa simpati terhadap Anwar dan ketidakpuasan rakyat yang berterusan tidak diuruskan dengan sebaik-baiknya.

Penggunaan media cetak dan eletronik perdana yang bertujuan menarik undi telah mengakibatkan reaksi sebaliknya. Pengundi berasa mereka dicabar kematangan mereka dalam mentafsirkan sesuatu perkara dan harus menerima sahaja apa yang disalurkan. Suntikan propaganda yang berlebihan telah menyebabkan rakyat rasa muak dan semacam diperolokkan dan akhirnya telah menolak segala mesej yang hendak disampaikan termasuk perkara-perkara yang bernas dan ikhlas.

Rata-ratanya, dari komen dan SMS yang saya terima selepas program itu, para penonton berasakan saya telah menyuarakan isihati mereka. Mengenai komen orang ramai, saya teringat semasa saya membawa keluarga saya ke sebuah taman tema di ibukota, seorang wanita dari Melaka telah mengucapkan terima kasih kepada saya di atas komen saya semasa rancangan tersebut yang merupakan pandangan beliau juga.

Dah banyak kali saya terlibat dalam perbincangan dalam program TV, tetapi kali in saya menerima respon yang paling hangat dari penonton!

No comments: